Pages - Menu

12 September 2016

Pregnancy Moment : Tompokan Coklat Pada Usia Kandungan 27 minggu!

Salam Aidil Adha diucapkan kepada semua sahabat-sahabat Muslim saya :)
Memandangkan saya pun tak dapat beraya di kampung, saya teringin nak kongsi pengalaman saya dengan anda. Sebenarnya ini la sebab kenapa saya tak dapat beraya di kampung.


----------------------------------------------
Tompokan Coklat Pertama!
----------------------------------------------

Tompokan pertama sebenarnya bermula pada 21 Jun 2016 (Selasa). Masa tu kebetulan memang ada janjitemu dengan nurse pun. Jadi terus cerita jela kan. Tompokan tu tak banyak sangat. Tapi agak membimbangkan sebab tu kali pertama kan.


Dan masa tu kali pertama dengar jantung baby. MasyaAllah, indahnya. Bila dah dengar degupan jantung dia macam biasa, alhamdulillah dah rasa tenang sikit.


Terus jumpa doktor untuk scan. Alhamdulillah semua ok. Nampak jantung baby gerak. Masa ni baru 17 minggu. Jadi agak bimbang la kan. Lagipun, doktor ada cakap, ada risiko keguguran kalau darah ni terus keluar. Ok dah cuak. Bila dah selesai scan tu, doktor pun cuma nasihatkan banyakkan rehat dan hadkan aktiviti harian.


Ok, masa ni memang sebenarnya sangat letih. Kebetulan masa ni ada perjumpaan ibu bapa untuk ambil kad peperiksaan, jadi sebagai guru Tahun 1, sememangnya kita lah yang kena buat semua benda. Termasuklah susun meja di kelas. Tak mustahil la akan ada tompokan sikit, menandakan badan kita penat. Begitulah kata doktor.


Dan syukur, waktu ni, sehari tu je yang ada tompokan. Lepas tu dah berhenti.


----------------------------------------------
Tompokan Coklat Kedua?
----------------------------------------------


Bermula 1 September 2016 (Khamis). Masa ni 27 minggu, Tengahari tu ada sikit tompokan coklat. Tapi sikit sangat. Jadi saya bincang dengan suami, dan beberapa orang sahabat, kami buat keputusan untuk pantau dulu.


Selama 24 jam, rasa lega tak ada sebarang tompokan yang berterusan. Baby pun gerak macam biasa. Alhamdulillah. Tapi start malam JUmaat tu, memang masa tu rasa agak penat (sakit pinggang), masa dah nak tidur dah, tengok-tengok eh! Ada lagi! Dan kali ni jumlahnya lebih banyak.


Tengok jam. Okay, pukul 1. Tunggu esok la pagi-pagi pergi hospital. Jadi malam tu tidur dalam keadaan yang agak tidak tenang. Terus istighfar banyak-banyak sampai betul-betul lena.


----------------------------------------------
Kena Suntik
----------------------------------------------


Esoknya (Sabtu) awal-awal pagi lagi dah ke hospital. Hajat asalnya nak balik Terengganu, tapi tak apalah. Singgah hospital dulu. Ingatkan sekejap. Lama juga rupanya sebab kebetulan ada lagi 5 orang yang datang untuk bersalin.


Memandangkan masa ni kandungan saya dah 27 minggu, memang kena terus pergi ke pusat bersalin risiko rendah, bukan kecemasan tau. Bagi yang ada tompokan coklat ni pada usia kandungan kurang 4 bulan, boleh pergi ke kecemasan. Tapi bagi yang dah lebih, kena terus pergi ke pusat bersalin ok. Bimbang yang keluar tu adalah tanda nak bersalin.


Mula-mula masuk, dia minta baring untuk cek jantung baby dan kalau-kalau ada contraction. Alhamdulillah masih normal. Contraction pun tak ada. Jadi dia tanya dulu kalau-kalau ada buat kerja berat, bersama suami dalam masa terdekat, terlanggar sesuatu. Semua tak ada.


Ok, jadi mereka cadangkan untuk buat ujian pada vagina. Mereka akan masukkan speculum dan cek jika ada ada bukaan atau pendarahan aktif, nak ambil sampel untuk analisis. Benda tu macam dalam gambar bawah ni.

Vaginal Speculum

Besar? Lebih kurang besar tabung uji macam tu la. Sakit ke masa dia masukkan? Bagi saya, rasa sakit tu takde lah sangat, cuma tak selesa la. Jadi kalau anda dimomokkan dengan kesakitan masa dia masukkan speculum ni, anda boleh buang kata-kata tu jauh-jauh. Kalau betul kedudukan anda masa tu, tak sakit pun. Jangan bimbang.


Daripada ujian tu, masih belum ada bukaan. (Alhamdulillah. Awal sangat nak kalau nak keluar sekarang.) Radang serviks dan pendarahan aktif pun tak ada. Dan tiada kuman atau virus yang menjangkiti kawasan tu. Semua ok.


Memandangkan doktor masih belum dapat mengenalpasti puncanya, mereka cadangkan pula untuk ambil suntikan DEXA. Saya dengan senang hati bertanya, DEXA tu apa doktor. Oh, suntikan untuk matangkan paru-paru bayi. Sebagai langkah berjaga-jaga kalau-kalau bayi nak keluar awal.


Ok, dengan selesa ku baring mengiring. Dia suntik kat bahagian pinggul tau. Mula-mula masuk jarum, tak rasa apa-apa. Mula je dia suntik ubat masuk ke pinggul, SubhanAllah rasa dia. Ubat ni pekat, jadi dia nak mengalir masuk ke dalam lambat. Bila nurse tarik jarum keluar, siap rasa sengal dan panas. Bertahan sebab fikir baby je. Kalau tak, mau je menggelupur. Lain macam suntikan ni. Lama sikit rasa kebas. 


Masa tu barulah nurse beritahu, ubat ni sakit sikit ye. Nanti dah hilang rasa sakit, puan boleh bangun. Memang ambil masa pun. dalam 10 - 15 minit baru boleh gerakkan kaki, keluar kat suami.Nurse keluar je, terus dia bagi kerusi roda untuk naik ke wad. Dia tahu, kalau dapat suntikan ni, memang ibu tak larat nak naik wad. Kebas dia lain macam.




----------------------------------------------
Masuk Wad!
----------------------------------------------


Bila dah masuk wad, alamatnya memang kena batalkan rancangan balik Terengganu. Tak apalah. Ada la hikmahnya.  Doktor minta masuk wad untuk pantau selama 24 jam.


Dan dalam 24 jam dipantau. Alhamdulillah tiada tompokan darah berlarutan. Akhirnya boleh keluar. Doktor bagi sijil sakit 2 hari. Boleh lah rehat.


Cuma malam berada di wad tu, sekali lagi kena suntik dengan DEXA . Malam tu memang keluar jugak la air mata. Pedih rasanya. 30 minit lepas tu baru boleh tidur balik.


Esoknya alhamdulillah dah boleh keluar. Sempat la merasa 4 hidangan hospital. Boleh tahan. Saya suka pemakanan sihat :)






----------------------------------------------
Masuk Wad Kali Kedua..!
----------------------------------------------


Tompokan berhenti untuk 4 hari. Tapi datang semula pada hari Selasa malam. Dengan banyakknya! Namun masih dengan keputusan yang sama seperti kes pertama, pantau dulu.


Selepas 3 hari tompokan berterusan, kami ambil inisiatif untuk ke hospital. Lagipun masa tu kami perlukan nasihat doktor sama ada saya boleh bergerak jauh atau tak. Cadangnya nak beraya haji di Tanjung Malim.


Tak sangka pula, kena tahan wad lagi. Memang kena rujuk pakar. Memandangkan masalah ni masih tak temui punca. Uri alhamdulillah berada di atas, jauh dari serviks. Dan tiada kuman juga.


Pagi Sabtu.


Datanglah Dr. Syima, doktor pakar sakit puan. Lepas tengok keputusan semua, akhirnya dia beritahu sebabnya. Ada sikit lekang antara uri dan rahim. Tapi tak perlu bimbang sebab jumlahnya sangat-sangat sedikit. Sebab tu la ada keluar tompokan coklat tu. Dan dengan itu, saya dinasihatkan untuk tak bergerak jauh. Duduk Kuantan jelah. Cuba untuk elakkan sebarang hentakan termasuklah bonggol jalan. Cuba perlahan sebaik mungkin.


Tapi serius, sebagai ibu, saya sangat bimbang. Kenapa?
Ok, saya cerita sikit pasal uri lekang ni.



----------------------------------------------
Placental Abruption (Uri lekang)
----------------------------------------------

Saya ringkaskan kepada PA ye. PA ni adalah satu situasi di mana uri (plasenta) terpisah daripada rahim ibu. Ini akan mengakibatkan bayi tidak mendapat oksigen dan zat yang mencukupi daripada ibu. Ia juga mungkin menyebabkan berlaku pendarahan yang mungkin membahayakan nyawa ibu dan bayi.



Biasanya terjadi dalam 1/150 kehamilan. Biasanya terjadi pada kehamilan pada trimester ketiga. Uri lekang ni meningkatkan risiko :


  • mengganggu tumbesaran janin dalam rahim ibu (jika pisahan itu kecil dan tak disedari)
  • lahir pramatang
  • meninggal dalam kandungan

Biasanya kita akan tahu mengenai uri lekang ni apabila ada pendarahan atau tompokan kecil. Sekalipun tompokan tersebut berwarna coklat. Jika ada sebarang tompokan, terus ke klinik atau hospital. kita tak tahu apa berlaku di dalam. 


Anda perlu lebih segera ke hospital jika anda mengalami tanda-tanda berikut :


  • Pendarahan faraj, tompokan, jika tiba-tiba keluar air dan cecair tu mengandungi darah.
  • Rasa tegang pada perut, bayi mengeras, sakit pada bahagian abdomen atau sakit belakang.
  • Contraction yang kerap atau tidak berhenti.
  • Bayi kurang bergerak berbanding biasa (Biasanya bayi bergerak lebih kurang 20 kali dalam masa 24 jam)

Cara yang terbaik untuk menghadapi masalah ini ialah :

  • Elakkan melancong atau menaiki kenderaan pada jarak yang jauh. Sebarang hentakan yang kuat mungkin akan membuatkan lekangan uri semakin teruk.
  • Banyakkan berehat. Itu penting. Jangan letih-letih sangat.
  • Sentiasa lengkapkan diri dengan suplemen. Ia membantu untuk menyampaikan zat pada ibu dan bayi dengan lebih banyak. Ee insyaAllah masih konsisten amalkan set hamil Shaklee
  • Banyakkan berdoa. Hanya Allah sahaja yang boleh jaga kita dan bayi yang kita kandung. 


InsyaAllah boleh dapatkan info yang lebih lengkap di sini.
http://www.babycenter.com/0_placental-abruption_1425791.bc#


Akhir kalam, insyaAllah doakan yang terbaik untuk saya ye :) Apa pun saya tetap yakin, Allah uji kita tanda Allah sayang kita.


Salam sayang,


Ameerah
010-2888494
Pengedar Shaklee Sah Kuantan
ID 1095681







Terima Kasih

No comments:

© Ameerah Zulkhairi | Template Designed By MH